Thursday, 24 March 2011

Sengketa parti pembangkang yang semakin menjadi-jadi di Sarawak!

Setelah pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak, krisis dalaman atau lebih elok dikatakan sebagai ‘persengketaan’ diantara parti-parti pembangkang di Sarawak bukanlah sesuatu yang asing lagi sekarang.

Parti Nasional Sarawak (SNAP) sememangnya masih berbalah teruk dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Malah dengan campur tangan parti penyibuk dari semenanjung iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan kemelut yang berlaku selama ini semakin meruncing.

Kedatangan PKR bukan sahaja dilihat sebagai menyibuk malah dianggap parti “pendatang” yang tidak langsung diundang ke negeri itu.

Selain itu, terdapat khabar angin yang menyatakan perbalahan sesama mereka semakin hari semakin meruncing dan parti-parti pembangkang seolah-olah sedang menuju ke arah kegagalan untuk mencapai kata sepakat.

Dalam erti kata lain, situasi ini sudah jelas menunjukkan pakatan pembangkang gagal mencapai kata sepakat di Sarawak.

“Pakatan” gagal menubuhkan sebuah “pakatan”

Baru-baru ini Presiden SNAP, Edwin Dundang, telah mengumumkan seramai 16 nama yang telah dikenal pasti sebagai calon bagi mewakili parti itu pada pilihanraya DUN Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Pilihanraya DUN Sarawak menawarkan 71 kerusi untuk dipertandingkan.

Malah, Edwin juga menegaskan kepada umum bahawa SNAP akan bertanding di 40 buah kerusi DUN di Sarawak. Ini jelas menunjukkan wujudnya pertembungan di antara parti-parti pembangkang dan situasi itu diakui Edwin sendiri.

Menurut beliau, pertembungan seperti itu sememangnya tidak dapat dielak pada pilihanraya DUN Sarawak itu.

Jadi apa yang dilihat pengumuman yang dibuat lebih awal oleh SNAP, bagaikan tamparan hebat terhadap PKR yang turut mengumumkan akan bertanding di 52 buah kerusi DUN di Sarawak.

Pastinya 52 kerusi DUN yang bakal ditandingi PKR ini akan menyaksikan pertembungan 3 penjuru di kalangan parti bertanding.

Dalam pada itu, satu lagi parti perasan bagus yang turut terlibat dalam kemelut parti pembangkang di Sarawak adalah DAP.

DAP yang sememangnya sebuah parti yang tamak dan rakus dengan kuasa sudah tentu tidak akan membiarkan SNAP dan PKR meluaskan pengaruh mereka di negeri itu.

Berbeza dengan suasana politik di semenanjung, DAP Sarawak mempunyai pemimpin “agung” mereka tersendiri. Baru-baru ini DAP dikatakan telah mengambil jalan mudah dengan memaklumkan untuk bertanding di semua kerusi DUN majoriti Cina, termasuklah di DUN Padungan iaitu DUN yang dimenangi oleh pemimpin PKR.

Tidakkah ini jelas menunjukkan yang DAP yang tamak mahu merampas kerusi PKR di Padungan?

Jadi, apa yang boleh dilihat disini adalah pembangkang masih lagi kabur arah tujunya di Sarawak dan ia jelas menunjukkan tiada sebab bagi rakyat di negeri itu untuk menyokong sebuah pakatan yang hanya mementingkan agenda parti berbanding nasib rakyat.

Jika dalam pakatan sendiri pun boleh berbalah, bagaimana pula jika dalam kerajaan sendiri. Sehubungan itu, rakyat di Sarawak perlu lebih berwaspada sebelum terpesong dengan agenda politik pembangkang yang lebih banyak pembohongan dari kebenaran.

No comments:

Post a Comment