Tuesday, 22 March 2011

Pilihanraya Sarawak: DAP, PKR & SNAP bergaduh, PAS tiada harapan!


Kemelut yang melanda sesama parti pembangkang Sarawak nampaknya belum lagi berjaya diselesaikan. SNAP masih lagi berbalah dengan DAP. Dengan campur tangan dari parti PKR yang dianggap parti “pendatang” dari Semenanjung, kemelut itu semakin hari semakin meruncing ke arah kegagalan untuk mencapai kata sepakat.
Dalam erti kata lain, pakatan pembangkang gagal mencapai kata sepakat di Sarawak. “Pakatan” gagal menubuhkan sebuah “pakatan”.


Baru-baru ini Presiden SNAP, Edwin Dundang, telah mengumumkan seramai 16 nama yang telah dikenal pasti sebagai calon bagi mewakili parti itu pada pilihanraya DUN Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Edwin turut menegaskan kepada umum bahawa SNAP akan bertanding di 40 buah kerusi DUN di Sarawak. Selain itu, Edwin turut memberitahu bahawa pertembungan di antara parti pembangkang sememangnya tidak dapat dielak pada pilihanraya DUN Sarawak itu.
Pengumuman yang dibuat oleh SNAP ini bagaikan memberikan tamparan hebat terhadap PKR yang turut mengumumkan akan bertanding di 52 buah kerusi DUN di Sarawak. Pastinya 52 kerusi DUN yang bakal ditandingi PKR ini akan menyaksikan pertembungan 3 penjuru di kalangan parti bertanding.
Pertindihan kerusi yang berlaku sesama pembangkang ini turut akan menyukarkan kerja Azmin Ali, pemimpin PKR yang tidak diperlukan di Sarawak, untuk membentuk sebuah pakatan sebagaimana yang telah dibentuk di Semenanjung. Nampaknya, misi Azmin gagal lagi.
DAP, sebuah lagi parti pembangkang Sarawak turut terlibat di dalam kemelut pertikaian perebutan kerusi DUN Sarawak kali ini. DAP Sarawak tidak seperti DAP di Semenanjung. Meskipun sudah bertapak lama di Sarawak sebelum PKR, DAP Sarawak tidak dipengaruhi langsung oleh Lim Kit Siang, Karpal Singh, mahupun anak Kit Siang sendiri, Lim Guan Eng.
DAP Sarawak mempunyai pemimpin “agung” mereka sendiri. Baru-baru ini DAP telah mengambil jalan mudah dengan memaklumkan untuk bertanding di semua kerusi DUN majoriti Cina, termasuklah di DUN Padungan iaitu DUN yang dimenangi Dominique Ng, ADUN dari PKR.
Kenapa DAP mahu merampas kerusi PKR di Padungan? Menurut sumber tempatan, Dominique merupakan bekas calon DAP yang kemudiannya melompat masuk ke pangkuan PKR pada pilihanraya yang lepas. Dominique dikatakan tidak disenangi oleh DAP Sarawak dan maka itu, DAP akan merampas DUN tersebut dari PKR.
Sebenarnya, DUN Padungan adalah satu-satunya DUN yang berjaya dijajah oleh PKR, dan memandangkan itulah maka PKR Sarawak bermati-matian mempertahankan DUN tersebut dari dirampas kembali oleh DAP. Dominique pula dikatakan tidak rela melepaskan DUNnya itu kepada DAP.
PAS yang masih lagi terkial-kial untuk memasuki Sarawak dilihat tiada harapan untuk memenangi sebarang kerusi kali ini meskipun Presidennya Hj. Hadi turun gelanggang. PAS tiada tempat dihati pengundi Sarawak.
Pada pengamatan penulis, pembangkang masih lagi kabur arah tujunya di Sarawak, dan tiada sebab bagi rakyat Sarawak untuk menuntut perubahan tampuk pemerintahan Kerajaan di negeri itu. Pentadbiran Kerajaan BN di Sarawak adalah di antara yang terbaik di seluruh Malaysia dan mereka sayangkan BN.
Beberapa kawasan yang dimenangi oleh DAP dan pembangkang yang lain tidak lebih dari proses demokrasi yang turut menuntut budaya “check & balance” berlaku di sidang DUN Sarawak. Selain itu, kedudukan pembangkang di Sarawak sebenarnya bergelut agar BN tidak merampas beberapa DUN yang mereka miliki.
Pembangkang Sarawak sebenarnya sedang sebok di dalam posisi bertahan agar baki DUN yang mereka miliki tidak dijatuh ke tangan BN Sarawak. Kerana itulah juga maka mereka sedang mengalunkan irama politik kebencian, prejudis dan fitnah terhadap BN Sarawak, sebagaimana yang telah lama mereka lakukan di Semenanjung.
Sedihnya, permainan politik DAP, PKR dan pembangkang Sarawak yang lain ini telah berjaya meracuni sebahagian besar pengundi Cina di beberapa kawasan bandar seperti Sibu dan Miri. Bandar-bandar jelas dibangunkan oleh BN itu telah termakan sedikit racun berbisa dan sudah pasti BN akan bertindak menyelamatkan mereka dari terus ditipu oleh bangsa mereka sendiri. Itu hakikatnya.
Oleh: Biak Kacak

No comments:

Post a Comment